Skip to main content

Sukan Lain

Bersara atau tidak, tunggu Sukan Asia 2022 - Shalin

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

shalin.jpg
Desas-desus menyatakan penganjur Sukan Asia 2022 berkemungkinan tidak menyenaraikan salah satu daripada acara 'lubuk emas' Malaysia, boling tenpin, dalam temasya sukan di Hangzhou, China itu.

Jika khabar angin itu benar, mungkinkah temasya Sukan Asia Indonesia tahun lalu adalah detik terakhir peminat sukan tanah air melihat kelibat ratu boling negara, Shalin Zulkifli, menyarung jersi 'Malaysian Heroes'?

Daripada bicara atlet berusia 41 tahun itu, ia seperti memberi bayangan untuk mengumumkan persaraan daripada skuad kebangsaan jika Hangzhou benar-benar mahu menggugurkan acara sukan itu yang telah menjadi darah dagingnya selama 29 tahun.

Namun, sudah terbiasa dengan rutin ke gelanggang boling sejak berusia 12 tahun, Shalin tidak mungkin meninggalkan terus sukan boling yang mula dikenalinya ketika mengikuti ibu-bapanya menjalani latihan pada usia sembilan tahun.

Malah, beliau sudah pun membuat perancangan awal untuk terus menabur bakti kepada sukan itu tidak kira dalam bidang kejurulatihan mahupun di peringkat pengurusan.

"Perasaan ingin bersara sentiasa ada tapi masih belum masanya lagi. Sebenarnya, selepas Sukan Asia 2018 di Jakarta, saya sudah mahu bersara tapi presiden (Kongres Tenpin Boling Malaysia, Datuk Dr. P. S. Nathan) minta saya teruskan lagi setahun sebab Sukan SEA Filipina, November depan. 

"Saya rasa, kalau bersara pun hanya daripada skuad kebangsaan tapi saya akan terus bergiat aktif seperti bermain dalam sirkit kebangsaan. Saya tidak akan tinggal sukan ini sepenuhnya, ia sudah menjadi darah daging saya," katanya. 

Ibu kepada seorang cahaya mata perempuan berusia tujuh tahun hasil perkahwinan dengan bekas pemain boling lelaki negara, Azidi Ameran, itu pernah menjadi pemain nombor satu Asia, dan pemenang pingat emas empat kali dalam Sukan Asia. 

Pemain veteran itu juga pernah mencipta sejarah tersendiri pada 2001 apabila menjadi wanita pertama muncul juara dalam Kejohanan Masters Dunia di Essex, England selepas mengalahkan Tore Torgersen dari Finland. 

"Jika nak kata saya akan fokus kepada kejurulatihan sahaja, tidak juga sebab dalam fikiran saya terlalu banyak benda mahu dilakukan.

"Kalau boleh nak sambung belajar dan pada masa sama, saya minat bahagian pentadbiran kerana sekurang-kurangnya sebagai bekas atlet nanti, saya boleh suarakan pendapat atlet kepada pihak atasan," katanya. 

Mengulas mengenai desas-desus acara boling tenpin tidak akan dipertandingkan di Huangzhou, Shalin berkata perkara itu akan memberi kesan kepada skuad kebangsaan, termasuk daripada segi peruntukan bagi membiayai atlet bersaing dalam kejohanan antarabangsa. 

"Kita perlukan dana yang banyak untuk pendedahan kejohanan di luar negara. Dana tersebut akan diperoleh melalui penyertaan dalam Sukan Asia. Jika sukan kita tidak ada dalam Sukan Asia, maka tiada dana untuk kami. Kami terpaksa gunakan duit sendiri jika mahukan pendedahan. 

"Mungkin rakan sepasukan akan ikut jejak langkah saya (bersara). Latihan berterusan itu perlu tapi pendedahan dalam kejohanan bertaraf dunia juga penting walaupun menggunakan duit yang banyak," katanya. 

Untuk rekod, Shalin setakat ini mengumpul 20 pingat emas Sukan SEA di belakang bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah, yang memegang rekod sebagai pemenang pingat emas terbanyak dengan 22 emas sepanjang penyertaan dalam Sukan SEA dari 1983 hingga 1989.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video