SUKAN LAIN
Bernice kian selesa dengan tarian solo, buka mata pelapis tari tempatan
Bernice Lu berharap dia mampu untuk mengekalkan prestasi dalam kejohanan-kejohanan lain yang disertai selepas kejayaan meraih pingat perak kategori solo latin wanita dewasa WDSF di Caucasus Cup 2025 di Georgia, hujung minggu lalu.
Dia mengakui teruja apabila meraih kejayaan itu kerana ia merupakan penampilan pertamanya di dalam kategori tersebut.
"Sebelum ini saya memang fokus untuk acara berpasangan tetapi pasangan saya buat keputusan untuk berhenti, jadi saya perlu mencari jalan lain untuk meneruskan karier.
Iklan
"Saya memilih untuk menyertai kategori solo yang sememangnya kompetitif, saya harap saya dapat teruskan rentak kemenangan saya ini dan meraih kemenangan yang lebih banyak," katanya di Nadi Arena.
Dalam pada itu, jurulatih sukan tarian negara, Chua Zjen Fong, menganggap kemunculan Bernice dalam kategori solo merupakan petanda positif untuk kem solo latin wanita negara.
Kejayaan Bernice itu jelas membuktikan potensi kem negara dalam menghasilkan lebih ramai penari untuk bertanding serta membawa pulang pingat di peringkat antarabangsa.
"Memang ini satu situasi yang bagus, saya berharap kita akan mempunyai lebih ramai atlet pelapis seperti Bernice yang mampu mengharumkan nama negara," kata Chua Zjen Fong.
Must-Watch Video