SUKAN LAIN
Berbasikal Trek Kebangsaan: Shah Firdaus rangkul emas di Nilai
Jaguh trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, menamatkan penantian enam tahun untuk menjuarai acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan selepas menewaskan pencabar terdekat, Mohd Fadhil Zonis dalam aksi final di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.
Lebih menarik, Shah Firdaus berpeluang melengkapkan emas hatrik apabila turun dalam pecut individu, esok.
Ketiadaan Datuk Azizulhasni Awang memberi kelebihan besar untuk Shah Firdaus mendominasi di Nilai.
Iklan
Pelumba berusia 26 tahun itu pada awalnya diekori rapat Fadhil dan seorang lagi pelumba Johor, Mohd Ridwan Sahrom namun berjaya meloloskan diri ke pusingan akhir.
Shah Firdaus jauh meninggalkan Fadhil ketika melintasi garisan penamat sementara pelumba Perak, Ahmad Safwan Ahmad Nazeri, gangsa.
Ia emas kedua Shah Firdaus selepas turut menjuarai pecut berpasukan.
Final wanita, Anis Amira Rosidi turut menepati ramalan namun apa yang menarik ialah kemunculan beberapa pelumba bertaraf Sukan Malaysia yang berpotensi mewakili negara.
Ketika ini, Anis menjadi pelumba pecut utama skuad trek selepas ketiadaan Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Adnan.
Anis meraih emas, perak milik Selangor sementara Sabah, gangsa.
Must-Watch Video