SUKAN LAIN
Berbasikal Trek Kebangsaan: Anis Amira, Ju Pha cipta kejutan kayuhan emas
Pelumba trek berbasikal negara, Anis Amira Rosidi dan Ju Pha Somnet, melakar kejutan apabila menjuarai acara pecut berpasukan Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2019 di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.
Pasukan Perlis itu pada awalnya dilanda kemelut akibat tidak cukup pelumba untuk menyertai acara pecut berpasukan.
Bagaimanapun, pelumba trek negara, Anis Amira dan Ju Pha, yang mewakili pasukan Perlis, memilih untuk menyertai acara tersebut walaupun sedar bukan sebagai pasukan pilihan.
Namun, mereka merakam kejutan apabila memenangi perlumbaan ketika bersaing dengan pasukan Terengganu yang diwakili ratu pecut negara, Fatehah Mustapa dan Nur Aisyah Mohammad Zubir, di pentas final.
"Kami mengambil keputusan untuk menyertai acara pecut berpasukan pada saat-saat akhir apabila mengetahui tidak cukup pasukan untuk bertanding," kata Anis Amira, 21.
Gandingannya, Ju Pha pula mengulas: "Kami mendaftar untuk menyertai acara ini kerana cuba memberi saingan kepada negeri-negeri lain."
Sementara itu, Azizulhasni Awang jelas kelihatan letih apabila hampir tewas dalam final acara keirin.
Bagaimanapun, pengalaman luas The Pocket Rocketman itu membantunya menjuarai perlumbaan itu dengan catatan masa 10.924 saat.
"Saya dihimpit sedikit oleh rakan sepasukan dari Selangor, Mohamad Shariz Efendi Mohd Shahrin, jadi saya agak terkedu sedikit dalam satu setengah pusingan awal.
"Tetapi saya tenangkan diri, berundur sedikit untuk mengambil kedudukan, ambil nafas sebelum memecut dari belakang untuk memotong mereka," kata pelumba dari Terengganu itu.