Berbasikal Trek: Azizulhasni kembali jalani latihan bersama skuad kebangsaan
Muzaffar Musa
September 26, 2022 19:55 MYT
September 26, 2022 19:55 MYT
Lima bulan selepas menjalani pembedahan jantung, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, akhirnya kembali menyertai sesi latihan bersama skuad kebangsaan.
Azizulhasni, yang ditemui di Velodrom Nasional, Nilai hari ini, gembira dengan kepulangannya sambil mengakui perlu bermula semula secara sedikit demi sedikit sebelum dapat mengerahkan seluruh kudratnya dalam latihan.
Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Azlani Adani, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu berkata: "Alhamdulillah, ini merupakan sesi latihan pertama saya di Malaysia.
"Saya datang untuk berlatih bersama pasukan kita yang sedang dalam persiapan untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Paris.
"Malangnya, saya tidak dapat menyertainya kali ini tetapi amat bagus untuk dapat bersama mereka dan memberikan sokongan moral.
"Cuma, latihan yang seperti kebiasaan saya lakukan di Melbourne sebelum ini perlu dilakukan secara berperingkat daripada keamatan yang rendah ke keamatan yang sederhana. Saya masih belum dapat memberikan 100 peratus.
"Seminggu sebelum pulang ke sini, saya ada melakukan ujian dengan doktor dan baru sahaja diberikan lampu hijau untuk menjalani latihan.
"Cuma saya perlu mengambil masa dan tidak boleh memberikan sepenuhnya seperti biasa.
"Jika diikutkan hati memang saya mahu, cuma saya perlu berhati-hati dan melihat keadaannya," katanya.