SUKAN LAIN
Berbasikal Kebangsaan: TSC kekal gelaran lebuh raya
Pasukan Team Sapura Cycling (TSC) meraikan kejayaan menafikan hasrat Terengganu Cycling Team (TSG) untuk merampas semula gelaran keseluruhan Kejohanan Berbasikal Jalan Raya Kebangsaan.
Kayuhan bertenaga Mohamad Saari Amri Abdul Rasim dalam acara lepas beramai-ramai 180.6km elit lelaki menjulang TSC untuk mengatasi pelumba PDRM, Mohd Elmi Jumari, dan pelumba TSG, Irwanide Lakasek.
Saari Amri masih tidak percaya bergelar juara acara lepas beramai-ramai memandangkan strategi utamanya hari ini adalah membantu rakan pasukannya, Akmal Hakim Zakaria, mempertahankan jersi yang dimenanginya pada tahun lalu.
Iklan
"Sebenarnya saya tidak jangka untuk muncul juara. Lagipun ramai rakan sepasukan yang sudah break away di depan dan TSG pula sedang mengejar.
"Jadi saya perlu tolong rakan-rakan demi mencapai kejayaan hari ini," kata Saari Amri.
Sementara itu, pelumba Terengganu A, Nur Aisyah Mohamad Zubir, turut menjuarai acara lepas beramai-ramai 103.2 kilometer elit wanita selepas menewaskan pelumba PDRM, Jupha Somnet, dan juara bertahan, Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, daripada Johor A.
"Fokus kami pada tahun ialah Sukan SEA.
"Saya harap dapat hadiahkan medal buat negara walaupun ia bukan datang daripada saya, saya harap dapat bantu negara capai kejayaan," kata Nur Aisyah.
Turut meraih perhatian adalah pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang turut menyertai acara lepas beramai-ramai.
Hafizh tidak menghabiskan perlumbaannya sambil mengakui ada banyak perbezaan antara sukan berbasikal dan permotoran walaupun kedua-duanya beroda dua.
Tetapi ia tidak membatal hasratnya untuk tampil lagi dalam kejohanan berbasikal.
"Kedudukan kami rapat ketika berlumba, lagipun tidak dengar bunyi motosikal.
"Dalam sukan permotoran saya tahu bilakah untuk menggunakan tenaga dengan sebaiknya. Saya juga belum dapat rentak dalam berbasikal," katanya.
Must-Watch Video