SUKAN LAIN
Beng Hee mungkin ganti Genever -- Nik Razeen
Bekas jaguh skuasy negara, Ong Beng Hee, kini dikaitkan sebagai pengganti ketua jurulatih skuad negara, Peter Genever, yang meletakkan jawatan selepas Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) lebih cenderung mendapatkan khidmat pengendali tempatan.
SRAM sudah memulakan pencarian calon pengganti Genever yang meletak jawatan kelmarin.
Badan induk itu sedang mengenal pasti beberapa calon, namun lebih cenderung mendapatkan khidmat pengendali tempatan.
Beng Hee antara calon yang layak berdasarkan pengalaman sebagai pemain kebangsaan dan pernah membimbing pemain negara sebelum menerima tawaran menjadi jurulatih skuad kebangsaan Qatar pada 2017.
"Kalau boleh, kami mahukan jurulatih tempatan untuk membimbing skuad negara.
"Jika tidak pada masa kini, ia mungkin berlaku pada masa akan datang.
"Ia bergantung kepada kemampuan jurulatih tempatan itu untuk membawa pasukan kebangsaan ke tahap yang sepatutnya.
"Beng Hee ketika ini sedang sibuk bersama skuad Qatar dan amat sukar untuk kami mendapatkannya.
"Namun, saya tidak menolak kemungkinan dia akan kembali bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang," kata Presiden SRAM, Nik Razeen Daud.
Genever akan meninggalkan Malaysia pada 29 Januari ini.
Ketiadaannya merupakan kehilangan besar buat skuad negara menjelang Kejohanan Asia di Bukit Jalil, Mei ini.
Ia diikuti dengan Kejohanan Remaja Dunia pada Ogos ini.