SUKAN LAIN
Beng Hee cabar atlet skuasy negara ke tahap lebih tinggi
Bekas pemain skuasy negara, Ong Beng Hee, mahu barisan atlet skuasy negara mencipta lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.
Bergelar pemain profesional pada tahun 2000 hingga 2006, Beng Hee antara pemain skuasy negara yang pernah berdiri seiring dengan barisan pemain terbaik dunia.
Muncul juara Kejohanan Asia empat kali berturut-turut di samping meraih dua pingat emas dalam Sukan Asia, pengalamannya membenarkan dirinya untuk meneruskan khidmat dalam skuasy dalam bidang kejurulatihan.
Kini, bergelar pengarah kejurulatihan skuasy serta ketua jurulatih skuasy Qatar, ia berjaya meluaskan lagi pengalamannya kepada bidang yang baru.
"Ia sangat menarik kerana ia telah membuka satu lagi pengalaman baru buat saya. Saya kini lebih mendalami bidang kejurulatihan dan pengurusan," kata Beng Hee.
"Saya sudah berada di Qatar selama dua tahun. Saya di sini bukan sahaja menyediakan program latihan tetapi turut menjalankan kejohanan tempatan dan bertaraf PSA.
"Tahun ini kami akan menganjurkan Kejohanan Dunia Lelaki yang bakal berlangsung di Doha dari 31 Oktober hingga 8 November.
"Malaysia akan sentiasa menjadi pilihan, namun buat masa ini, saya cuba memperoleh pengalaman di Qatar dan berharap meningkatkan lagi sukan skuasy ke tahap yang lebih tinggi.
"Skuasy Qatar masih lagi dalam fasa pembangunan dan ketinggalan di belakang Malaysia. Dalam tempoh dua tahun saya berkhidmat, kami lebih mengutamakan program akar umbi serta usaha untuk memupuk minat terhadap sukan skuasy di Qatar," tambahnya.
Beng Hee berharap pemain-pemain semasa skuad skuasy negara mampu mencapai tahap yang lebih tinggi dan berusaha bagi mengharumkan nama negara.
"Sebagai generasi emas seiring dengan Mohd Azlan Iskandar (bekas pemain nombor 10 dunia) dan Nicol David (bekas pemain nombor satu dunia), harapan saya adalah melihat pemain-pemain yang sedang meningkat naik seperti S. Sivasangari, Ng Eain Yow, Ivan Yuen and Low Wee Wern menyerlah.
" Ia merupakan peluang mereka untuk menyinar dan memahat nama mereka di pentas antarabangsa."