BERITA SUKAN AM

Belanjawan 2025: Malaysia Madani peruntuk RM230 juta pacu industri sukan negara

Ammar Hakim 18/10/2024 | 08:41 MYT
Kerajaan Madani yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ternyata mahu melihat perubahan yang drastik aspek pencapaian sektor sukan negara menjelang 2025.
Hasrat itu diterjemahkan menerusi pengumuman sejumlah peruntukkan RM230 juta bagi memacu industri sukan negara untuk tempoh tersebut.
Ketika membentangkannya di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan beberapa langkah penting yang perlu dilaksanakan dalam memastikan pencapaian atlet negara sentiasa berdaya saing dan mampu pembangunan sukan negara berjalan dengan lancar dan tidak terjejas.
Peruntukan tersebut meliputi pembangunan Program Podium, latihan atlet dan Road to Gold, persiapan atlet para menjelang Sukan Para Dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.
Jumlah yang diperuntukan itu juga adalah termasuk untuk menaiktaraf kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Justeru, kerajaan juga melihat beberapa jenis sukan yang perlu diperkasakan berikutan pencapaian semasa yang difikirkan wajar untuk diketengahkan.
"Berikutan sambutan hangat saat berkunjung ke India, Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini, saya terpanggil untuk turut mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada pembangunan sukan kriket. Baru-baru ini juga, Selangor Red Giants telah bergelar juara dunia bagi e-Sports World Cup. Kerajaan bersetuju menyediakan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan.
Bajet ketiga kerajaan madani turut menggarapkan beberapa langkah proaktif dan perubahan polisi merangkumi aspek pembangunan fiskal selain menggalakkan lagi pertumbuhan bakat baru yang lebih kompetitiif.
Untuk itu kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh pemenang atlet individu dan pasukan melalui Skim Hadiah Kemenangan sukan (SHAKAM) yang diberikan oleh kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN).
Bajet 2025 yang bertemakan 'Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera', ia adalah belanjawan yang terakhir di bawah rancangan Malaysia ke-12 sebelum negara beralih kepada RMK13 untuk tempoh lima tahun seterusnya.
#Malaysia #Perdana Menteri #Datuk Seri Anwar Ibrahim #Kerajaan Madani #Malaysia Madani
;