Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berharap agar sektor belia dan sukan terus diberikan perhatian oleh pihak kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat ini.

Jelas Hannah, sumber kewangan mencukupi penting demi memastikan kelangsungan kecemerlangan sukan di Malaysia agar terus berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dia turut memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mencadangkan kepada Kementerian Kewangan mengenai pemotongan cukai diberikan kepada ibu bapa yang memperuntukkan perbelanjaan untuk kelengkapan latihan sukan anak-anak.

"Dana sukan tidak banyak, tidak akan pernah mencukupi jadi sebab itulah kami bagi insentif kepada ibu bapa untuk terlibat bersama.




"Jadi saya minta pemotongan cukai diberikan ibu bapa yang belanjakan latihan untuk kanak-kanak.

"Kalau hendak kecemerlangan sukan, kita perlu melabur dan Sukan Asia sudah buktikan bahawa semuanya perlukan wang kalau nak cemerlang.


"Semuanya berkait dan saya harap kami dapat peruntukan yang mencukupi untuk golongan belia dan kumpulan sukan di Malaysia," kata Hannah.

Beliau ditemui ketika merasmikan majlis pelancaran U.S. Kids Golf Tour Malaysia 2023 yang dijadualkan berlangsung di tiga zon berbeza iaitu zon tengah, utara, dan selatan.