SUKAN LAIN
Bazly ulangi kejayaan, rangkul Anugerah Siebel kali kedua berturut-turut
Wartawan Nadi Arena, Wan Nor Bazly Wan Azmi, dinobatkan Wartawan Terbaik 2017, sekali gus memenangi Anugerah Siebel buat kali kedua berturut-turut dalam Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2017, malam ini.
Bazly membawa pulang RM7,000 serta trofi utama untuk laporan khas bertajuk "Jantan: Terpantas Asia".
Kemenangan utama Bazly adalah antara tiga anugerah yang dimenangi Astro Arena dalam edisi kali ini.
Iklan
Bazly turut memenangi Anugerah Laporan Khas Terbaik Terbuka yang memberikan hadiah wang tunai RM3,000 serta trofi.
"Ini merupakan satu anugerah yang amat bermakna buat pasukan Astro Arena selepas berjaya mempertahankan gelaran Anugerah Siebel ini. Laporan yang telah dilakukan ini dalam usaha membantu Khairul Hafiz Jantan sebagai Raja Pecut Asia Tenggara," kata Bazly.
Satu lagi anugerah untuk Astro Arena dimenangi oleh Zulhelmi Zainal Azam dengan penyertaan bertajuk "Cerminan bola sepak Malaysia" bagi kategori ulasan berita terbaik media elektronik bagi membawa pulang wang tunai RM4,000 serta trofi.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua warga Astro Arena yang membantu dalam menyiapkan laporan, tidak terlupa kepada jurukamera, Ezreen Isa, yang turut memberikan idea," kata Zulhelmi.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sambil diiringi Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.
SENARAI PEMENANG KATEGORI KEWARTAWANAN SAM-100PLUS 2017
ANUGERAH SIEBEL 2017: BAZLY AZMI (Astro Arena)
LAPORAN KHAS TERBAIK: BAZLY AZMI (Astro Arena)
ULASAN SUKAN TERBAIK (MEDIA ELEKTRONIK): ZULHELMI ZAINAL AZAM (Astro Arena)
Must-Watch Video