TENIS

Barisan jurulatih terima persaraan Assri

Penulis Jemputan 08/09/2017 | 05:29 MYT
Seluruh skuad tenis negara, termasuk barisan kejurulatihan, merelakan persaraan tonggak senior lelaki, Mohd Assri Merzuki, walaupun sedar bakal kehilangan pengaruhnya dalam saingan di pentas antarabangsa.
Assri mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan, terutama ketua jurulatih negara, Muliyadi Jamal.
Walaupun akur dengan keputusan yang diambil oleh Assri, Muliyadi tetap yakin bahawa pemain berusia 23 tahun itu masih mampu menyumbangkan kudrat buat skuad negara, namun menghormati kehendak Assri yang dikhabarkan mahu beralih ke bidang kejurulatihan peribadi di Phuket, Thailand.
"Saya faham keputusan Assri itu telah difikirkan sekian lama.
"Saya harap dia hanya berhenti sementara waktu kerana dia masih lagi muda," kata Muliyadi.
Ketika ditemui, Muliyadi turut menjelaskan mengenai hala tuju skuad kebangsaaan yang masih tidak memiliki kelompok pemain berkualiti dalam bilangan yang besar, sekaligus memberikan kerisauan tentang masa depan skuad tenis negara.
"Kebanyakan pemain akan menyambung pelajaran selepas berusia 18 tahun, jadi kami akan mengalami masalah ketandusan pemain senior.
"Diharapkan pemain-pemain sedia ada akan kekal bersama skuad negara dan berjaya sehingga ke peringkat senior."
#Malaysia #Tenis #Muliyadi Jamal #Mohd Assri Merzuki
;