HOKI
Bangladesh pilihan anjur hoki Piala Asia 2017
Ketua Pegawai Eksekutif, Persekutuan Hoki Asia (AHF), Datuk Tayyab Ikram, mengesahkan Bangladesh akan diumumkan sebagai tuan rumah Piala Asia 2017 selepas negara itu berjaya menyediakan lampu limpah di Stadium Hoki Maulana Bhasani.
Keputusan itu pasti melegakan Bangladesh yang sebelum ini dikritik kerana Stadium Hoki Maulana Bhasani tidak memiliki lampu limpah.
AHF berpuas hati dengan persiapan Persekutuan Hoki Bangladesh, sekaligus mengetepikan bidaan beberapa negara lain.
Kejohanan itu akan berlangsung pada Oktober depan di mana juara akan layak ke Piala Dunia secara automatik.
"Bangladesh merupakan pilihan untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2017, ia juga merupakan kelayakan Piala Dunia.
"Bangladesh merupakan negara berpotensi dan berpengalaman untuk menganjurkan kejohanan ini.
"AHF akan mengumumkannya tidak lama lagi, namun negara-negara lain sudah mendapat bayangan mengenai negara yang akan menganjurkannya," ujar Tayyab.
Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Asia dengan pencapaian terbaik adalah di tangga ketiga pada 2007.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Pengadilan dan Kejurulatihan Tahap 2 Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Antara yang terbabit, Amarjit Singh, selaku bekas pengadil yang memiliki lesen tertinggi di Malaysia, iaitu panel dunia.
"Memang negara kita mempunyai ramai pengadil dan lebih ramai lagi yang akan menyusul selepas ini.
"Kami mempunyai sasaran kerana kami mengharapkan dalam Kejohanan Piala Dunia 2018 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan datang, negara kita mempunyai wakil," katanya.