Skip to main content

Permotoran

Bagaimana Marc Marquez bangkit daripada 'episod hitam' sehingga kembali menjulang Kejuaraan Dunia MotoGP

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mm93.jpg
Sukan permotoran menyaksikan salah satu kisah kebangkitan yang paling mengagumkan apabila Marc Marquez berjaya kembali merangkul gelaran Juara Dunia MotoGP 2025, menamatkan kemarau gelaran selama enam tahun selepas episod kecederaan serius yang hampir menamatkan kerjayanya.

2020: Permulaan Mimpi Ngeri

Pada Julai 2020, Marquez mengalami kemalangan serius di Grand Prix Sepanyol Jerez, yang merupakan perlumbaan pembukaan musim 2020. Beliau mengalami keretakan tulang lengan atas kanan (humerus).



Beliau bagaimanapun cuba untuk kembali berlumba hanya beberapa hari selepas kemalangan tersebut, namun menerima padah apabila plat titanium pada lengannya patah, memaksa beliau menjalani pembedahan kedua.

Akibatnya, beliau terlepas keseluruhan baki aksi MotoGP musim 2020.

2021: Kebangkitan Yang Mencabar

Nasib Marquez terus dirundung malang apabila perlu menjalani pemulihan yang panjang dan rumit, yang turut memaksa beliau menjalani pembedahan yang ketiga pada Disember 2020.



Beliau kembali ke litar pada April 2021 (Grand Prix Portugal), selepas terlepas tiga perlumbaan pertama. Walaupun tidak cergas sepenuhnya, beliau menunjukkan sekilas kehebatan lamanya dengan meraih tiga kemenangan Grand Prix (Jerman, Amerika Syarikat, dan Emilia Romagna) sepanjang musim.

Pada akhir tahun 2021, Marc bagai sudah jatuh ditimpa tangga. Beliau mengalami kemalangan semasa sesi latihan off-road yang menyebabkan kecederaan mata, iaitu diplopia (penglihatan berganda), yang pernah beliau alami pada tahun 2011. Ini menyaksikan beliau terlepas dua perlumbaan terakhir musim tersebut.

2022: Terus Bergelut dengan Prestasi

Pada awal 2022, masalah diplopia beliau kembali selepas kemalangan teruk ketika sesi pemanas badan GP Indonesia. Walaupun meneruskan perlumbaan, beliau bergelut dengan prestasi dan juga jentera Honda RC213V yang semakin sukar dikendalikan.

Pada bulan Mei sehingga Jun 2022, setelah mengakui keadaannya tidak dapat diteruskan, Marquez membuat keputusan berani untuk menjalani pembedahan keempat pada lengan kanannya, prosedur yang penting untuk membetulkan kedudukan tulang humerus yang dikatakan telah berpusing semasa kecederaan awal.

Akhirnya, beliau sekali lagi berehat panjang untuk proses pemulihan.

Menghampiri penghujung 2022, beliau kembali ke litar buat baki enam perlumbaan terakhir dan berjaya meraih pole position di GP Jepun dan menaiki podium ke-100 dalam kelas perdana di Phillip Island GP Australian 2022, menunjukkan petanda yang positif.

2023: Perpisahan Dengan Honda

Musim 2023 menyaksikan Marquez berjuang keras dengan jentera Honda yang kurang kompetitif. Beliau sering terjatuh ketika perlumbaan, namun berjaya memenangi beberapa perlumbaan Sprint dan menunjukkan prestasi luar biasa.



Penghujung 2023, dalam langkah yang mengejutkan dunia MotoGP, Marquez mengumumkan perpisahan beliau dengan Repsol Honda, pasukan yang telah bersamanya sejak debutnya pada 2013 dan membawanya kepada enam gelaran dunia.

Beliau membuat keputusan untuk berpindah ke pasukan satelit Ducati, Gresini Racing, untuk menunggang jentera Ducati dengan spesifikasi tahun sebelumnya (GP23), mencari motivasi dan rasa seronok menunggang kembali.

2024 & 2025: Kembali Kepada Kegemilangan

Memulakan musim 2024 di atas jentera Ducati, Marc Marquez dengan pantas kembali menjadi pencabar utama. Walaupun menunggang jentera yang lebih tua, beliau secara konsisten berada di hadapan, bersaing untuk podium dan kemenangan.



Prestasi yang menakjubkan memberi peluang kepada beliau dinaikkan 'pangkat' untuk menunggang jentera pasukan kilang (factory team) Ducati.

Beliau berjaya meraih kemenangan dan menaiki podium dengan konsisten, dan akhirnya pada Grand Prix Jepun 2025, Marc Marquez mengunci gelaran Juara Dunia MotoGP ketujuhnya dalam kelas perdana (dan kesembilan secara keseluruhan), mempamerkan kebangkitan sukan yang luar biasa selepas bertahun-tahun bergelut dengan kecederaan serius.

Advertisement

Must Watch Video