Skip to main content

Olimpik

Badminton: Dua beregu profesional berdepan cabaran ke Tokyo

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

v-shem-wee-kiong.jpg
Ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sandaran kepada dua beregu profesional untuk memburu pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan, kelayakan mereka ke temasya itu dibelenggu isu kesihatan dan persaingan daripada wakil kem kebangsaan.

Beregu yang dimasudkan itu ialah Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (campuran) dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (lelaki).

Penghujung 2019 menyaksikan Peng Soon disahkan menghidap penyakit saraf muka, bell's palsy.

Hingga ke hari ini, dia perlu membahagikan keperluan untuk menjalani rawatan dan persediaan untuk menghadapi Kejohanan Masters Malaysia, yang bermula minggu depan.

Kejohanan kompetitif terakhir yang disertai Peng Soon-Liu Ying ialah Kejohanan Final Jelajah Dunia Perseketuan Badminton Dunia (BWF) bulan lalu di mana mereka tersingkir seawal peringkat kumpulan.

"Segala-galanya nampak baik dan penyakit saya juga sudah 80 peratus sembuh," kata Peng Soon.

"Saya sedang bersedia untuk menghadapi kejohanan tahun ini.

"Selepas Jelajah Dunia, saya berehat selama seminggu, jadi saya sedang bersiap daripada segi fizikal untuk menghadapi kejohanan yang akan datang," katanya.

Sementara itu, perebutan tiket acara beregu lelaki ke temasya terbesar itu memihak kepada pasangan di bawah naungan BAM, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Berdasarkan ranking kelayakan ke Tokyo, gandingan itu berada di tangga kesembilan daripada 16 slot yang ditawarkan.

Untuk sesebuah negara memiliki dua wakil dalam acara beregu ke temasya itu, mereka perlu menempatkan diri dalam kalangan lapan teratas menjelang kemas kini terakhir 30 April depan.

Ia menjadi cabaran buat V Shem-Wee Kiong dan persaingan itu dihangatkan lagi dengan pertembungan kedua-dua beregu itu dalam pusingan pertama Masters Malaysia.

"Sasaran utama saya pada 2020 ialah untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo," kata V Shem.

"Masters Malaysia akan bermula minggu depan, jadi saya berharap dapat beraksi baik.

"Kami akan berdepan pasangan terbaik Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam pusingan pertama.

"Saya berharap dapat memberikan cabaran yang baik buat mereka.

"Tekanannya tetap sama, mahu beraksi baik dan menjadi beregu nombor satu negara.

"Ia bukan mudah," katanya.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video