SUKAN LAIN
Azroy sedia berkorban demi Aznil
Atlet angkat berat negara, Mohd Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, memohon pertimbangan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), menarik balik penggantungan selama setahun apabila sanggup mengorbankan impiannya menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk memberi laluan kepada rakan sepelatih, Aznil Bidin.
PABM akan mengadakan pertemuan dengan skuad negara, Jumaat ini, bagi membincangkan hala tuju sukan itu.
Antara yang akan dibincangkan ialah peluang menarik balik penggantungan selama setahun ke atas atletnya bertanding di luar negara ekoran kes doping bagi mencerahkan peluang mereka mengumpul mata kelayakan ke Olimpik Tokyo.
Ia penting kerana format kelayakan sudah berubah -- semua atlet yang bertanding akan mengumpul mata kelayakan secara individu, bukannya mata terkumpul mengikut negara seperti di Rio 2016.
Malah, tindakan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) mengubah kategori berat badan menyaksikan saingan 56kg milik Azroy dimansuhkan untuk digantikan dengan 61kg, sekali gus memberikan cabaran besar buat juara Komanwel itu.
"Saya rela berkorban untuk Aznil bersaing ke Sukan Olimpik kerana tidak mungkin saya dan dia akan bersaing dalam satu kategori yang sama," kata Azroy.
"Diharap pihak PABM memberikan kelonggaran buat kami mengutip mata dan layak beraksi dalam Sukan Olimpik di Tokyo."