SUKAN LAIN

Azroy mohon PABM benarkan atlet sertai kejohanan

Penulis Jemputan 01/07/2018 | 13:03 MYT
Badang negara, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, meminta Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mempertimbangkan permohonan beberapa atlet menyertai Kejohanan Dunia di Ashgabat, Turkmenistan, November depan selepas skuad negara lulus ujian doping.
Perkembangan positif untuk angkat berat Malaysia apabila 18 sampel yang telah diuji lulus daripada bahan terlarang dan Azroy berkata ia mampu meningkatkan keyakinan skuad negara.
"Alhamdulillah, semua 18 atlet junior bersih daripada doping. Saya berharap persatuan membuat keputusan yang baik untuk membenarkan saya pada November nanti.
"Kejohanan itu penting untuk mendapatkan mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, lebih-lebih lagi kami tidak pergi ke Sukan Asia Indonesia kerana digantung.
"Hanya segelintir yang menggunakan bahan terlarang. Siapa yang kekal berada di MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara), saya berharap pihak persatuan memberikan kami peluang untuk menyertai mana-mana kejohanan," ujarnya.
Ditanya lebih lanjut adakah keputusan doping itu boleh mengubah pendirian persatuan yang menggantung skuad angkat berat selama setahun, Azrory bekata: "Saya harap persatuan dapat singkatkan penggantungan.
"Kasihan saya dan rakan-rakan yang yang lain untuk menyertai kejohanan."
;