Azroy Hakeem Anuar dan Azlan Shah Kamaruzaman bakal sekali lagi berentap untuk terus berada di kedudukan teratas carta pungutan mata keseluruhan apabila pusingan kedua perlumbaan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2024 membuka tirainya hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Selepas dihampakan Azroy pada pusingan pertama, sudah pastinya inilah masa terbaik Azlan untuk bangkit memintas kedudukan itu di pusingan kedua nanti dalam kategori kelas elit.
Hanya dibezakan dengan 7.5 mata sahaja, Azlan berpeluang besar untuk mengubah kedudukan itu namun pastinya ia bukan kerja mudah memandangkan Azroy kini berada pada prestasi terbaiknya musim ini.
Selain itu beliau turut dihambat rapat oleh pencabar dari pasukan Honda Racing Thailand, Nakarin Atiratphuvaphat yang kini menghuni tangga ketiga dengan hanya dibezakan enam mata di belakang Azlan.
Sementara itu Md Helmi Azman dari pasukan Boon Siew Honda Racing kini mendahului carta kedudukan keseluruhan dalam kategori MSBK 600 selepas cemerlang dalam aksi perlumbaan pertama yang lalu.
Situasi yang sama juga seperti Azlan, Apiwath Wongthananon sudah pastinya telah belajar segala bentuk kekurangan untuk diperbaiki pada pusingan perlumbaan kali ini untuk mencabar Helmi.
Kedudukanya di tangga kedua ketika ini masih lagi terbuka luas untuk diubah sekaligus memintas kedudukan Helmi.
Bagi kategori 250cc pula menyaksikan Gerry Salim dan Muhd Muzakkir hanya dibezakan dengan hanya dua mata sahaja untuk kedudukan tempat pertama dan kedua.