Pelumba legenda negara, Azlan Shah Kamaruzaman, mengumumkan persaraannya daripada sukan permotoran sebentar tadi.

Azlan Shah, dalam satu kiriman media sosial, memberikan ucapan terima kasih kepada semua penyokongnya, yang menjadi tulang belakang terhadap pelbagai kejayaannya di pentas tempatan dan antarabangsa.

"Dengan rasa penuh syukur dan berat hati, saya ingin mengumumkan bahawa saya telah membuat keputusan untuk bersara daripada sukan dua roda yang telah menjadi sebahagian besar daripada hidup saya.

"Perjalanan ini penuh dengan cabaran, kegembiraan, dan pelbagai pengalaman yang sukar dilupakan, namun tibalah masanya untuk saya melangkah ke fasa baru dalam hidup saya.

"Keputusan ini bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia adalah keputusan yang saya ambil dengan penuh pertimbangan.

"Sepanjang karier saya, sokongan anda semua menjadi pendorong yang tidak ternilai, dan saya tidak dapat mengucapkan terima kasih yang secukupnya atas semangat dan kepercayaan yang diberikan.

"Setiap sorakan, setiap kata-kata semangat, dan kehadiran anda di litar perlumbaan memberi saya kekuatan untuk terus berlumba dan berjuang di atas trek.

"Saya akan sentiasa menghargai memori ini dan membawa semangat anda bersama saya, walaupun saya tidak lagi akan berada di atas dua roda.

"Walaupun saya meninggalkan dunia perlumbaan ini, cinta saya terhadap sukan ini dan sokongan kepada anda semua tidak akan pernah berkurangan. Terima kasih kerana sentiasa bersama saya dalam setiap kejayaan dan kegagalan," katanya.