SEPAK TAKRAW
Azlan Alias kena ingat bahawa dia aset negara -- Futra Ghani
Bekas perejam emas skuad sepak takraw negara, Futra Ghani, memuji kematangan Azlan Alias yang tampil mengakui kesilapan dan memohon maaf kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) atas tindakannya mengabaikan arahan tempoh pemulihan kecederaan apabila turun beraksi dalam CelcomDigi STL Divisyen 1, minggu lalu.
Jelas Futra, kekecewaan yang disuarakan badan induk itu adalah atas dasar tanggungjawab majikan ke atas pemainnya yang juga merupakan aset utama skuad negara.
Ujar ketua jurulatih skuad Malaysia B itu, kem sepak takraw negara pastinya menagih khidmat Azlan untuk baki dua lagi kejohanan utama tahun ini iaitu Piala Raja Thai pada bulan depan serta Sukan SEA Thailand penghujung tahun ini.
Iklan
"Ia sebenarnya menyelamatkan Azlan Alias, ia satu tindakan yang baik daripada PSM.
"Dia merupakan pemain nombor satu negara -- aset negara.
"Banyak lagi kejohanan akan datang yang perlu dihadapinya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Dia turut berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara baik demi kebaikan semua pihak.
"Saya sangat kagum dengan kematangan dan profesiolisme Azlan yang mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada PSM.
"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan mungkin Azlan boleh mengikuti pandangan Datuk Sumali Reduan (Presiden PSM) dalam hal ini," katanya yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2005.
Must-Watch Video