SEPAK TAKRAW
Azlan Alias diberi amaran lisan
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, mengesahkan surat teguran rasmi kepada perejam utama negara, Azlan Alias, berikutan tindakannya mengabaikan arahan tempoh pemulihan kecederaan tatkala turun beraksi mewakili Melaka Titans dalam saingan CelcomDigi Sepaktakraw League (STL) Divisyen 1 yang melabuhkan tirainya 1 Jun lalu.
Tegasnya, PSM tidak teragak-agak untuk menggantung atau memecat Azlan daripada skuad kebangsaan, seandainya kesalahan sama berulang.
Jawatankuasa Disiplin PSM yang bersidang semalam memutuskan untuk sekadar beri teguran rasmi kepada Azlan memandangkan ini merupakan kesalahan kali pertama yang dilakukan tonggak kelahiran pulau pinang itu sejak menyarung jersi negara pada 2013.
Iklan
"Kesalahan ini akan direkodkan dalam buku disiplinnya -- rekod profil pemain dan sekiranya pelanggaran berulang lagi maka tindakan seterusnya akan diambil, sama ada menggantun atau memecatnya.
"Dia juga terlibat dalam Program Podium 2025 untuk menghadapi Piala Raja Thai, Piala Asia dan Sukan SEA.
"Kesihatannya perlu diutamakan kerana dia merupakan perejam utama dan pemain harapan kepada negara dan PSM," jelasnya.
Ujar Abdul Puhat, selaku pemain senior, Azlan sewajarnya menunjukkan contoh teladan yang baik terutama kepada barisan pemain muda.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) telah diberi surat tunjuk sebab berikutan tindakan membenarkan Azlan turun beraksi dan perlu menjawab surat berkenaan dalam tempoh 10 hari bermula semalam.
"Mengapa PASTAM benarkan Azlan bermain sehingga tempoh yang dibenarkan oleh pegawai perubatan ISN (Institut Sukan Negara)," kata Jawatankuasa Disiplin PSM, Datuk Seri Abd Puhat Mat Nayan.
Must-Watch Video