Azizulhasni kembali jalani latihan dua, tiga minggu lagi
Ammar Hakim
Oktober 7, 2023 19:26 MYT
Oktober 7, 2023 19:26 MYT
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, bakal terlepas pusingan pertama Kejohanan UCI Track Champions League 2023 selepas dirinya hanya akan turun menjalani latihan dalam tempoh dua ke tiga minggu lagi.
The 'pocket rocketman' mengalami kecederaan kaki dan pinggul kiri ketika sesi latihan di Velodrom Nilai September lalu memaklumkan proses pemulihan berjalan lancar di mana ketika ini dirinya sedang menjalani sesi fisioterapi selepas keadaan luka yang sudah pulih sepenuhnya.
Situasi semasa pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu menyaksikan dia bakal terlepas pusingan pertama UCI Track Champions League 2023 yang dijadualkan berlangsung 21 Oktober depan di Mallorca, Sepanyol.
"Sebelum ini, belum sembuh sepenuhnya dan terdapat luka dalaman di pinggul saya selain perlu menjalani rawatan ultrasound.
"Saya akan fokus dengan rawatan fisioterapi selepas ini untuk sembuh dengan segera dan kembali berlatih,” kata Azizulhasni menerusi Nadi Weekend.
Dalam perkembangan sama, Azizulhasni turut memuji persembahan ditampilkan kem berbasikal trek negara di Sukan Asia Hangzhou yang berjaya menghadiahkan empat pingat gangsa buat kontinjen Malaysia.
Kredit wajar diberikan kepada semua pelumba memandangkan ada di antara mereka buat julung kalinya beraksi di pentas besar seperti Sukan Asia.
"Bagi saya, ia merupakan satu pencapaian yang boleh diterima. Kita tahu tahap acara berbasikal trek di Asia ini sangat tinggi. Pasukan Jepun dan China antara negara terbaik termasuklah negara kita,” katanya.