OLIMPIK PARIS
Azeem yakin aura Shereen biarpun terlepas slot wildcard
Pelari sensasi wanita negara, Shereen Samson Vallabouy, diyakini mampu kembali lebih bertenaga biarpun terlepas beraksi dalam Sukan Olimpik 2024 menerusi slot wildcard.
Itu pandangan raja pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, terhadap ratu pecut 400m negara itu selepas tidak terpilih ke temasya sukan dunia berkenaan.
Sambil berharap Shereen tidak berputus asa, atlet kelahiran Teluk Intan, Perak berusia 20 tahun itu mengakui pelari satu negeri dengannya itu sentiasa memperagakan prestasi terbaik musim ini.
Iklan
"Shereen selalu buat yang terbaik dan pecahkan rekod kebangsaan, saya yakin slot wild card tidak mematahkan semangatnya selepas ini.
"Saya percaya bahawa Shereen mampu bangkit lebih cemerlang pada masa depan dan bakal muncul antara pelari pecut terbaik Malaysia dalam acara 400 meter.
"Shereen juga masih berpeluang beraksi di Sukan Olimpik pada masa akan datang, sekali gus mengharumkan nama negara.
"Dan semua tahu bahawa ibu bapanya adalah bekas atlet negara, jadi saya percaya dalam edisi seterusnya, dia akan tampil dalam Sukan Olimpik." katanya.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Rabu lalu mengesahkan tiket wildcard ke Paris 2024 diberikan kepada Azeem, sekali gus mengetepikan Shereen.
--Sinar Harian
Must-Watch Video