Azeem makin hampiri kelayakan Sukan Olimpik
Ammar Hakim
Mei 1, 2023 20:03 MYT
Mei 1, 2023 20:03 MYT
Muhammad Azeem Fahmi kekal positif di sebalik catatan 10.14 saat di Florida, Amerika Syarikat semalam diganggu tiupan angin.
Azeem melakukan catatan peribadi terbaik musim ini ketika tiupan angin 2.8 meter sesaat berbanding had dibenarkan, iaitu 2 meter sesaat jika mahu diiktiraf untuk sebarang rekod.
Namun ia bukan masalah utama kerana catatan itu bukti pelari kelahiran Perak itu sudah berada di landasan tepat untuk capai sasaran utama iaitu layak ke Sukan Olimpik Paris dan Kejohanan Dunia 2023.
Azeem perlu melakukan catatan 10.0 saat untuk layak beraksi di kedua-dua saingan itu.
"Ia merupakan catatan yang sangat baik. Saya mengulangi satu larian yang terbaik pernah saya lakukan sebelum ini. Saya dan jurulatih menyedari kami sudah mula mendapatkan rentak terbaik dan cuba melakukan yang terbaik dalam kejohanan yang berlangsung dua minggu lagi," katanya.