HOKI
Aura Jang Jong-hyun julang THT
Terengganu Hockey Team (THT) melaungkan amaran awal apabila menyingkap saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2023 dengan mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih selepas menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 4-3 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Permain import dari Korea Selatan, Jang Jong-hyun, muncul wira THT apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu kelab Pantai Timur itu merangkul kejuaraan serta tiga mata pertama dalam saingan liga musim ini.
Kedua-dua pasukan bermula garang untuk memburu jaringan dan TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi pemain tengah, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal, yang menjaringkan gol padang pada minit ke-13.
Bagaimanapun, THT kemudian bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Fikri Saari pada minit ke-20.
TNB, yang terus mengasak kubu lawan, berhasil mendapatkan jaringan kedua melalui pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-32.
Namun, THT sekali lagi merapatkan kedudukan menerusi Jong-hyun dua minit kemudian.
Shello Silverius terus menambah derita TNB apabila menyempurnakan jaringanya pada minit ke-43.
Kedudukan itu tidak kekal lama dan TNB kembali merapatkan jurang jaringan menerusi Muhammad Amirul Amizan Azahar pada minit ke-49.
THT, yang tidak mengalah, akhirnya memadamkan sisa kebangkitan TNB apabila Jong-hyun menjaringkan gol peribadi keduanya pada minit ke-58 untuk memastikan kemenangan 4-3.
Sementara itu, bagi kategori wanita pula, Negeri Sembilan merangkul kejuaraan Piala Sumbangsih 2023 selepas menundukkan KPT-Uniten Thunder 2-1 menerusi penentuan pukulan penalti setelah terikat 1-1.
Keputusan itu juga menyaksikan kedua-dua pasukan mengumpul satu mata untuk permulaan musim 2023 musim ini.
Kredit: Sinar Harian