Atlet judo, Nur Farah Izzati Wallah, tidak menjangkakan dapat mengatasi lawan yang cukup berpengalaman apabila memenangi pingat emas acara Bawah 52 kilogram Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Surabaya, Indonesia.

"Saya sangat bersyukur kerana tidak menjangkakan kemenangan tersebut. Saya berdepan pesaing yang beraksi di peringkat antarabangsa malah beraksi di Sukan Olimpik," katanya.

"Saya mendedikasikan kemenangan buat pihak sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana memberikan peluang buat sukan judo turut beraksi di peringkat ini. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih atas setiap individu yang memberikan sokongan buat saya dalam usaha memastikan kemenangan."

"Saya berharap, kemenangan ini dapat meningkatkan lagi sukan judo untuk diketengahkan dalam setiap kejohanan di pentas antarabangsa."

'Bergelar atlet-mahasiswi, kami perlu mengatur masa untuk belajar dan latihan. Ia bukan sesuatu yang mudah dalam memastikan kejayaan dapat diperoleh dalam kedua-dua bidang ini.

"Selepas ini, saya akan meneruskan latihan untuk menghadapi Sukan SEA tahun hadapan."