Atlet Pelayaran Johor, Nur Hazurah Md Hazahar, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya merempuh kereta Bandar Penawar, semalam.



Nur Hazurah, yang berusia 21 tahun, pernah menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) mewakili Johor pada tahun 2022 dan 2024 dalam sukan pelayaran.

Menerusi perkongsian Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, kemalangan itu berlaku jam 4.50 petang membabitkan motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa dan Perodua Kenari.

"Kemalangan berlaku apabila Perodua Kenari dipandu seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun datang dari arah Bandar Penawar telah menukar haluan dari kiri ke kanan membuat pusingan U," menurut petikan yang dipetik menerusi Harian Metro.

"Akibat kemalangan tersebut wanita tersebut cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kenari tidak cedera.

"Mayat mangsa katanya, dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.