SUKAN LAIN

Atlet para terima insentif terbanyak dari Selangor

Bernama 29/01/2019 | 11:01 MYT
Atlet para negara, Mohd Najib Turano menjadi atlet yang paling banyak menerima insentif kemenangan daripada kerajaan negeri Selangor dalam satu majlis khas yang diadakan di sini, hari ini.
Atlet berbasikal berkenaan menerima wang insentif kemenangan berjumlah RM19,000 berikutan kecemerlangannya menggondol tiga pingat perak dan satu gangsa dalam Sukan Para Asia Jakarta 2018.
Atlet renang Selangor, Jordan Yip Zhu Ern pula menjadi penerima insentif tertinggi bagi atlet yang bertanding dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 dengan ganjaran berjumlah RM14,100.
Atlet bowling tenpin kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, dan pemain sepak takraw kebangsaan, Farhan Adam, menerima insentif berjumlah RM8,000 setiap seorang.
Sebanyak RM929,200 diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi menghargai jasa atlet kelahiran negeri itu yang berjaya mempamerkan persembahan cemerlang dan memenangi pingat dalam tiga acara sukan terbesar tahun lalu, iaitu Sukan Asia Jakarta-Palembang, Sukan Para Asia Jakarta-Palembang dan Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018.
Majlis penyerahan insentif berkenaan disempurnakan oleh Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.
Mohd Najib ketika ditemui pemberita selepas majlis berakhir berkata dia amat berterima kasih atas pemberian insentif berkenaan dan akan menjadikannya sebagai pemangkin semangat untuk beraksi dengan lebih cemerlang dalam Kejohanan Basikal Trek Para Dunia di Belanda, Mac depan.
“Untuk tahun ini, saya fokus untuk menyertai seberapa banyak Kejohanan Dunia bagi mengumpul mata agar pasukan kebangsaan layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan di Kejohanan Dunia yang disertai oleh banyak pasukan gergasi dunia, kita menyasarkan untuk berada di kedudukan 10 terbaik,” katanya.
Tambahnya, pasukan berbasikal para negara bagi acara pecut berpasukan berada di kedudukan kelima dunia dan jika pasukan negara beraksi cemerlang dalam Kejohanan Dunia, Mac depan, peluang pasukan untuk layak secara merit ke Tokyo akan menjadi lebih cerah.
-- BERNAMA
;