Atlet kebangsaan, warga sukan dijulang dalam Malam Anugerah MOM
Disember 11, 2024 22:12 MYT
Malam Anugerah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kembali untuk edisi ke-27 dalam majlis gilang-gemilang yang menghimpunkan atlet kebangsaan serta warga sukan di Kuala Lumpur.
Anugerah itu, yang bertujuan menghargai pencapaian terbaik atlet negara serta pegawai dan bekas atlet yang bertanding dalam semua temasya Sukan antarabangsa di bawah kelolaan MOM, dianjurkan semula selepas kali terakhir diadakan pada 2019.
Susulan pandemik COVID-19 yang meninggalkan impak sehingga pelbagai temasya sukan tergendala, MOM memutuskan untuk menunda Anugerah Tahunan MOM dengan menunggu selesainya kitaran Sukan Olimpik 2020-2024.
Tahun 2024 juga seiring dengan ulang tahun ke-70 MOM diiktiraf sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Malaysia oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Anugerah Olimpian Tahunan menjadi kemuncak di samping Anugerah Wanita & Sukan MOM serta Induksi ke Dewan Kemasyhuran MOM.
Tanda penghargaan, Anugerah Persatuan Sukan Terbaik turut diperkenalkan bagi persatuan yang konsisten menyumbang pingat emas untuk Kontinjen Malaysia di Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel, dan Sukan Olimpik.
Majlis dimulakan dengan Induksi ke Dewan Kemasyhuran MOM, membabitkan 20 anggota terbaharu terdiri daripada bekas pegawai sukan dan atlet yang telah memberi sumbangan signifikan kepada arena sukan negara.
Bagi Anugerah Wanita & Sukan, MOM memilih Puan Tang Kwai Mae atau lebih dikenali sebagai Mae Chen dalam komuniti sukan Akuatik, sebagai penerima anugerah ini.
Dengan hampir dua dekad sumbangan dalam sukan Akuatik, beliau diiktiraf sebagai penerima ke-18 anugerah yang diperkenalkan pada tahun 2003.
Sebanyak 23 persatuan diberi tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam membantu kontinjen Malaysia mencapai kejayaan dan meraih pingat emas di pelbagai temasya sukan.
Seramai 11 penerima Anugerah Olimpian diiktiraf bagi pencapaian cemerlang mereka sejak 2020 hingga 2024.
YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan anugerah Olimpian kepada para pemenang.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria,
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Anugerah MOM ke-27, Datuk Wira Nur Azmi Ahmad, dan Ahli Lembaga Eksekutif MOM.