E-SUKAN
Atlet e-sukan juga perlu jalani ujian doping
Pihak Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) berkemungkinan bakal menjalankan ujian doping ke atas atlet e-sukan biarpun sebelum ini acara tersebut tidak mewajibkan sebarang ujian berkenaan.
Ini selepas melihat kepada peningkatan prestasi atlet e-sukan negara di peringkat antarabangsa dan tempatan yang ditawarkan habuan cukup lumayan.
Dan atas dasar itu, pihak ADAMAS berpendapat aspek hadiah kemenangan dan pencapaian diraih menjadi sebab utama mengapa mereka perlu menjalani ujian doping.
Selain itu, komuniti e-sukan dunia juga diketahui menggunakan bahan perangsang yang mampu memberikan mereka ketenangan ketika bermain dan ada antara ramuan utamanya merupakan bahan yang dilarang dalam senarai dikeluarkan Agensi Anti-doping Dunia (WADA).
ADAMAS kini gigih memastikan setiap atlet negara dalam setiap cabang sukan cakna mengenai pendidikan berkaitan doping dan mengharapkan semua pihak lebih telus dalam memastikan tiada skandal doping berlaku dalam kalangan atlet negara.