SEPAK TAKRAW
ASTAF: Sepak takraw Malaysia perlukan nafas baru -- Halim
Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) hari ini mengiktiraf Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungan.
Selepas drama dan konflik yang menyelubungi sukan itu di Malaysia sejak 2021, kemelut berkenaan akhirnya terlerai.
Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader, menjelaskan ia keputusan yang sukar selepas tiga dekad Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bernaung di bawah ASTAF.
Iklan
Malah, ASTAF sudah ada perancangan untuk mengalu-ngalukan Presiden MSC merangkap Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, dalam masa terdekat.
"Kami mengiktiraf MSC kerana percaya dengan kepimpinannya untuk bekerjasama dengan ASTAF bagi bertanggungjawab terhadap sepak takraw Malaysia.
"Kami pernah bekerjasama dengan PSM dan kami memerlukan perubahan.
"Kami percaya sepak takraw di Malaysia memerlukan nafas baru.
"ASTAF juga mahu mengumumkan bahawa Datuk Suhaili Abdul Rahman akan diberi penghormatan menyampaikan pingat di (Sukan SEA) Vietnam," katanya ketika dihubungi Astro Arena.
Ia berbeza dengan pendirian Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang terus memilih PSM sebagai ahli gabungan kerana mengelak daripada keputusan terburu-buru memandangkan MSC masih lagi baru bertapak dan perlu membuktikan kredibilitinya terlebih dahulu.
Must-Watch Video