Skip to main content

Sukan

ASN: Lee Zii Jia, Aniq Kasdan ketuai senarai calon Olahragawan Kebangsaan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

zii.jpg
Lima atlet lelaki dan wanita disenarai pendek untuk menjulang gelaran Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024.

Jawatankuasa Pemilihan ASN 2024 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, menerima 148 pencalonan untuk 11 kategori daripada persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Calon-calon yang yang disenarai pendek adalah berdasarkan pencapaian cemerlang atlet negara di pentas antarabangsa sepanjang tahun 2024.

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengetuai senarai pencalonan Olahragawan Kebangsaan, diikuti beregu lelaki, Aaron Chia / Soh Wooi Yik, Wong Weng Soon (wushu), Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), dan Abdul Latif Maxzakir (pencak silat).

Bagi calon Olahragawati Kebangsaan pula lima atlet telah disenarai iaitu Sin Li Jane (tenping boling), Nor Farah Ain Abdullah (lawn bowls), Tan Cheong Min (Wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal) dan Nor Farah Mazlan (pencak silat).

Bagi kategori Olahragawan Paralimpik Kebangsaan, atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin mengetuai pencalonan diikuti Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romly (para olahraga), Eddy Bernard (para olahraga) dan Cheah Like Hou (para badminton).

Lima pencalonan gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan pula adalah Nur Azlia Syafinaz Mohd Zais (para berbasikal), Nur Suraiya Muhamad Zamri (para berbasikal), Noor Askuzaimey Mat Salim (boccia), Hasmunirah Malik (para lawn bowls), dan Noor Imanina Idris (para olahraga).

Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan,
masing-masing akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai RM20,000.

ASN turut menawarkan tujuh anugerah lain iaitu Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

ASN yang diperkenalkan sejak 1966, adalah satu pengiktirafan tertinggi kerajaan bagi menghargai kecemerlangan sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan.

Majlis Anugerah Sukan Negara 2024 akan diadakan pada 13 Mei 2025 (Selasa) di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong telah berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Advertisement

Must Watch Video