Menjelang Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022, juara dunia bina badan, Datuk Syarul Azman Mahen Abdullah berharap dapat memenuhi kabinet trofinya dengan menjulang satu-satunya gelaran yang masih belum berada dalam gengamannya, iaitu Anugerah Olahragawan Negara.
Buat pencalonan edisi 2022, Syarul berharap penilaian barisan panel berdasarkan kejayaannya dibuat secara adil dan saksama tanpa prejudis, sekaligus mengelak daripada berputih mata buat kali kelima sejak 2016.
Pada usia 50 tahun, Syarul percaya dia masih berada di kemuncak prestasinya.
Gelaran juara dunia kali kelima di Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizikal tahun lalu, serta pingat emas Sukan SEA Hanoi menjadi taruhan terbaik untuk dinobat selaku olahragawan negara.
Sensasi Syarul menyaksikan dirinya sudah memenangi semua gelaran dalam sukan bina badan dan pengiktirafan tertinggi negara itu bakal menjadi penamat terbaik untuk karier gilang gemilang.
Sementara itu, dia menegaskan, penghormatan anugerah olahragawan berupaya meringankan beban dirinya untuk menangung kos makanan tambahan dan menu dietnya yang mencecah RM5000 sebulan.
Kali terakhir atlet bina badan diangkat menjadi olahragawan negara adalah pada 2014 menerusi Sazali Samad.
Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri pula antara nama di senarai akhir pencalonan Anugerah Olahragawati Negara 2022.
Tanpa disangka, ia pencalonan sulungnya rentetan aksi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun.
Namun Dhabitah tidak mengharapkan kemenangan kerana percaya calon-calon lain seperti rakan sepasukannya, Datuk Pandelela Rinong, mempunyai peluang yang lebih baik.
Ammar Hakim
Thu Jun 29 2023