Skip to main content

Tenis

Ashleigh Barty takluk Terbuka Malaysia ALYA

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

050317alya.jpg

Ashleigh Barty menjulang kejuaraan perseorangan sulungnya dalam tenis Jelajah WTA apabila menumpaskan Nao Hibino dari Jepun dalam perlawanan akhir Terbuka Malaysia ALYA yang tertunda kerana cuaca buruk di TPC Kuala Lumpur, hari ini.

Kejayaan Ashleigh bermakna dia berjaya mengulangi pencapaian pemain Taiwan, Hsieh Su-wei, yang muncul juara selaku pemain dari pusingan kelayakan pada 2012.

Ashleigh mudah mendahului 4-1 setelah mematahkan servis Nao pada game kedua sebelum perlawanan terpaksa ditunda selama dua jam akibat hujan.

Pun begitu, ia langsung tidak menjejaskan momentum Ashleigh. Selepas perlawanan bersambung, pemain berusia 21 tahun itu memerlukan hanya 39 minit untuk mengungguli set pembukaan itu.

Ashleigh terus mempamer aksi garang pada set kedua, dengan kekuatan servis serta ketepatan dan kekuatan pukulan menjadi senjata ampuhnya. Dia mematahkan servis Nao, yang tampak hilang punca, sebanyak dua kali pada game ketiga dan ketujuh lalu mengesahkan kejuaraannya.

Nao, 23, jelas dibelenggu keletihan selepas terpaksa berhempas-pulas dalam dua pusingan sebelum itu. Dia langsung tidak dapat menyaingi kehebatan Ashleigh sepanjang tempoh permainan dan kerap membuat kesilapan.

Ashleigh juga menjadi pemain Australia kedua untuk bergelar juara selepas Jelena Dokic mencapainya pada 2011.

"Kejayaan muncul juara di sini sememangnya menakjubkan. Saya sangat gembira kerana dapat menunjukkan persembahan terbaik sepanjang minggu ini," katanya.

"Nao merupakan pasangan beregu saya ketika zaman remaja dan saya bangga dapat bertarung dengannya untuk kejuaraan di peringkat senior.

"Saya berharap kemenangan hari ini adalah permulaan kepada masa depan yang lebih cerah untuk saya. Sasaran saya adalah untuk memecah masuk ke kelompok 100 terbaik dunia," ujar pemain No.158 dunia itu.

Ashleigh meraih hadiah wang tunai AS$43,000 dan 280 mata ranking manakala Nao terpaksa berpuas hati dengan AS$21,440 dan 180 mata.

Isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, diberi penghormatan untuk menyampaikan trofi kepada kedua-dua finalis itu.

Lain-lain tetamu kehormat yang hadir termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Berhad, Tan Sri Mohd Bakke Salleh, Pengarah Urusan Sime Darby, Datuk Jauhari Hamidi, Ketua Pegawai Eksekutif TPC Kuala Lumpur, Steven Thielke, dan Naib Presiden Persatuan Lawn Tennis Malaysia, Datuk Mohamad Taufik Omar.

Advertisement

Must Watch Video