Pemain bola keranjang remaja negara, Tan Chee Wey, melihat sebarang kejayaan meraih pingat emas dalam Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) di Semarang, Indonesia, 17 hingga 25 Julai ini, bakal membuka pintu untuknya menyertai skuad bola keranjang kebangsaan.
Dia, yang sudah menceburi sukan bola keranjang selama 10 tahun, setiap hari tidak pernah jemu menjalani latihan intensif dengan harapan mampu menyertai skuad kebangsaan.
Walaupun sukan bola keranjang kurang popular di Malaysia, ia tetap mempunyai ciri-ciri tersendiri yang menarik minatnya berbanding sukan-sukan lain.
"Saya ikut tertarik dengan minat kawan-kawan selain cikgu juga memberi galakan berikutan ketinggian saya.
"Saya ada mencuba sukan lain juga tetapi saya lebih menggemari permainan ini kerana ia melibatkan acara berpasukan yang membolehkan saya mempunyai ramai kawan.
"Sukan ini juga memerlukan kerjasama, barulah kami boleh memenangi perlawanan," katanya.
Tambah Chee Wey, walaupun yakin untuk meraih emas dalam penampilan ASG ketiganya, dia menyedari jika ingin menyertai skuad bola keranjang kebangsaan, dia perlu lebih giat berlatih.
"Saya harap dapat memenangi emas dalam penyertaan kali ini untuk mengharumkan nama negara.
"Saya perlu berlatih lebih gigih untuk layak mewakili negara," katanya.
Skuad bola keranjang lelaki remaja negara menunjukkan peningkatan prestasi dalam edisi ke-10 di Malaysia, tahun lalu, apabila berjaya meraih pingat perak selepas memungut gangsa di Singapura pada 2017.
Sukan Lain
ASG: Medan Chee Wey cipta nama
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena