Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj, bersikap positif walaupun anak buahnya dibelasah kali kedua oleh Australia dan malam tadi 0-7.

Kelmarin, The Malaysian Hockey Tigers turut tewas 0-3 kepada pasukan nombor 1 dunia itu dalam aksi pertama siri Perlawanan Ujian Antarabangsa berkenaan.

Pasukannya tidak pernah berputus asa untuk berjuang tetapi mereka perlu berehat supaya mampu menjelmakan saingan lebih baik pada esok.

"7-8 pemain menanggung kecederaan ringan dan hari ini mereka memerlukan pemulihan di seluruh badan.

"Jadi apabila pulang ke Malaysia kelak, kami perlu memantapkan aspek fizikal sebab kalau cergas, barulah pemain boleh mengekalkan rentak.

"Saya telah mengkaji perlawanan sebelum ini, kami mampu mengikut rentak tempo permainan tetapi tidak berselang beberapa minit. Jadi kami perlu perbaiki kekuatan kaki," katanya.





Menurutnya lagi: "Dalam perlawanan seperti ini, saya perlu membenarkan pemain muda membuat kesilapan, tidak boleh menjangkakan mereka seperti telah membuat 100 penampilan bersama negara.

"Bukan mudah unruk berdepan pasukan nombor satu dunia di tempat lawan, tapi saya mahu mereka berjuang hingga tamat permainan," kata Arul.