Pelumba kategori TBS Asia One Make Championship, Ramdan Rosli, fokus menurunkan berat badannya demi perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 13 hingga 15 September ini.

Naib juara musim lalu itu kini sedang menduduki tempat kedua dengan 128 mata selepas empat pusingan.

Mengakui pelumba dengan berat badan lebih ringan akan memiliki kelebihan ketika berlumba, Ramdan, yang bercakap sebagai tetamu jemputan dalam Nadi Arena sebentar tadi, berkata dia perlu menurunkan berat badan sebanyak satu kilogram lagi untuk mendapatkan berat ideal dalam kategori itu.

"Saya ketika ini memang tidak berlatih menunggang motosikal kerana saya sedang buat latihan fizikal dan ketahanan seperti berlari, berbasikal dan latihan fizikal.

"Kerana saya sedang fokus untuk menurunkan berat badan memandangkan pesaing saya lebih kurus daripada saya.

"Berat badan saya kini 58 kilogram dan saya mahu menurunkannya sehingga 57 kilogram, lagi sekilogram.

"Dalam kategori lightweight seperti saya, pelumba yang lebih ringan memiliki sedikit kelebihan," katanya.