ARRC
ARRC: Masalah dana tidak patah semangat TKKR Racing Team



Dilanda isu tiada dana yang mencukupi untuk bersaing dalam kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2024 tidak mematahkan semangat TKKR Racing Team untuk berjuang hingga akhirnya menemui jalan penyelesaian.
Walaupun hanya berbaki empat hari lagi sebelum kempen bermula di lokasi pertama, Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand, pasukan juara berganda bagi kelas Asia Superbike 1000cc 2023 kini optimis untuk kembali mencabar kejuaraan.
Bagi pelumba yang namanya tidak asing lagi dalam dunia permotoran, Azlan Shah Kamaruzaman, yang juga merupakan juara sulung keseluruhan bagi kelas ASB1000 ternyata lega dapat kembali beraksi di atas litar.
"Saya sangat bersyukur, pasukan telah berusaha untuk memastikan kami berlumba di Buriram. Saya sangat gembira dapat berlumba dan berterima kasih atas usaha pasukan," kata Azlan menerusi Nadi Arena.
Menurut ketua pasukan, Adam Fiqri Bobie Farid, pula berkata, jumlah RM180,000 berjaya dikumpulkan dan yang lebih signifikan, 100 peratus dana untuk menampung kos perbelanjaan diraih menerusi jualan motorsikal, alat ganti dan beberapa produk selain sumbangan dari para peminat yang tidak henti menyokong pasukan.
Namun jumlah tersebut hanya digunakan untuk perlumbaan pertama dan mereka harus mencari penaja lain untuk tetap meneruskan kempen ini.