ARRC

ARRC: Kasma juarai kelas 600cc

Penulis Jemputan 11/08/2019 | 11:40 MYT
Pelumba negara terus menunjukkan taring dalam perlumbaan kedua pusingan kelima Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) apabila Kasma Daniel Kasmayudin dan Adam Norrodin merangkul tempat satu-dua kelas 600cc manakala Azlan Shah Kamaruzaman meraih tempat kedua kategori 1000cc di Litar Antarabangsa Zhuhai China, sebentar tadi.
Adam, yang terlebih dahulu meraih kemenangan sulung menerusi perlumbaan semalam, terus bersemangat mahu mengukir kejayaan buat pasukan SIC Junior ZK Racing itu dalam perlumbaan kedua.
Pelumba berusia 21 tahun itu diberi tentangan sengit daripada rakan senegara dalam Program Pembangunan Bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kasma Daniel, yang enggan sekali lagi berputih mata untuk meraih kemenangan.
Pelumba Hong Leong Yamaha Malaysia itu turut dicabar hebat oleh pelumba Thailand, Peerapong Boonlert, namun peneraju kedudukan keseluruhan itu terpaksa akur sekali lagi tewas kepada Kasma Daniel yang melakukan catatan masa 19 minit 42.945 saat sementara Adam di tempat kedua (ketinggalan 0.075s).
Di samping itu, seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, meraih tempat kedua kelas ASB 1000cc. Pelumba pasukan BMW S1000RR itu menamatkan perlumbaan 1.394s di belakang juara dari Australia, Broc Parkes, sementara pelumba Jepun, Yuki Ito, dari Yamaha Racing Team ASEAN melengkapkan tempat podium.
Seorang lagi pelumba negara, Zaqhwan Zaidi, yang menjuarai perlumbaan pertama di Zhuhai semalam, terpaksa akur terlepas podium kali ini.
;