ARRC

ARRC: Helmi Azman raih podium, Akid Aziz selangkah muncul juara

Saufi Tahir 07/12/2024 | 11:28 MYT
Pelumba negara, Helmi Azman, menamatkan saingan Perlumbaan 1 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 kategori SS600 di kedudukan podium dalam cabaran pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, sebentar tadi.
Persaingan sengit tiga penjuru antara Helmi, Apiwath Wongthananon dan Adenanta Putra bermula sejak awal perlumbaan.
Namun, Helmi terpaksa akur selepas jenteranya tidak cukup kelajuan untuk bersaing pada garisan lurus untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga..
"Untuk perlumbaan tadi cuaca agak panas dan saya bermula dengan baik, tetapi hingga masuk pertengahan perlumbaan pelumba lain banyak memotong saya.
"Saya cuba untuk kawal momentum saya, saya cuba untuk menang. Bagaimanapun, jentera saya agak perlahan ketika perlumbaan lurus. Saya cuba beri yang terbaik dan berjuang hari ini dan akhirnya dapat raih podium.
"Selepas berlumba di Moto2 di Litar Sepang tempoh hari, banyak penambahbaikan buat saya berbanding sebelum ini," katanya.
Dalam pada itu, meskipun Md Akid Aziz sekadar menamatkan saingan pada tempat keempat, dia masih berada pada kedudukan pertama keseluruhan kategori ub150 denga perbezaan jurang lima mata dengan pencabar terdekat tempat kedua, Aditya Fauzi.
Akid tampil dengan perlumbaan lebih taktikal untuk mengelak daripada jatuh dan bersaing pada kelompok lima penunggang di hadapan untuk Perlumbaan 2 bagi memastikan gelaran juara keseluruhan menjadi miliknya esok.
"Jika duduk bahagian belakang ada kelebihan seperti akan lebih tenang dan dapat lihat situasi yang akan berlaku dan kekurangan pula apabila berlaku sesuatu dan kita mahu mengejar ada risiko.
"Ada sedikit perasaan gementar tetapi saya lebih fokus untuk berlumba. Saya berharap dapat muncul juara di Litar Buriram ini." tambahnya.
;