Pelumba Jepun, Haruki Noguchi, yang terlibat dalam kemalangan sewaktu perlumbaan ASB 1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia pada Ahad lalu disahkan meninggal dunia petang semalam.
Persatuan Permotoran Antarabangsa (FIM) Asia dalam satu kenyataan sebentar tadi mengesahkan Haruki menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.40 petang semalam di Hospital Besar Nusa Tenggara Barat.
Dalam perlumbaan pusingan keempat itu, Haruki terlibat dalam satu kemalangan di selekoh ke-10 pusingan keempat -- yang turut melibatkan dua pelumba negara, Zaqhwan Zaidi dan Kasma Daniel Kasmayuddin.
Pelumba berusia 22 tahun itu diberikan rawatan segera di pusat kesihatan litar berkenaan sebelum dipindahkan ke hospital tempatan.
Selepas bertarung nyawa selama tiga hari di unit rawatan rapi, Haruki disahkan meninggal dunia disebabkan kecederaan yang dialaminya.
"Presiden FIM Asia dan lembaga pengarahnya, Two Wheels Motor Racing dan Keluarga ARRC menyampaikan salam takziah buat keluarga, rakan dan orang yang dicintai Haruki Noguchi," kata kenyataan berkenaan.
Muzaffar Musa
Thu Aug 17 2023