Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, meletakkan sasaran podium menjelang pelumbaan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Hafizh kehilangan kedudukan pendahulu keseluruhan dalam pusingan keempat di Litar Mandalika, Indonesia pada Julai lalu, di mana dia dipintas pelumba negara tuan rumah itu, Andi Farid Izdihar.

Yakin dengan kemampuan dan pengalamannya berlumba di SIC, Hafizh berharap dapat menerima sokongan padu daripada peminat sukan permotoran tanah air.

"Sudah pasti itu yang semua peminat nantikan kerana sasaran saya adalah untuk berada di podium dan kalau boleh saya mahu berada di tengah podium," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

"Tetapi adakalanya kita ada pesaing yang amat kuat kerana setiap tahun mereka meningkat.

"Cuma saya akan lebih bersedia untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan akan menggunakan pengalaman yang saya ada.

"Saya tahu kelebihan yang saya ada, saya sudah menghabiskan banyak kilometer dan masa di Litar Sepang, jadi saya akan mencuba yang terbaik.

"Jentera saya juga semakin baik dalam setiap pasingan dan saya amat percaya dengan keupayaan pasukan ini.

"Saya yakin ia akan menjadi hujung minggu yang amat positif.

"Saya tahu Sepang adalah rumah saya. Saya harap ramai yang akan turun untuk memberikan sokongan buat pelumba negara.

"Saya ramalkan ramai penyokong Harimau Selatan akan datang memberikan sokongan kepada pasukan ini, jadi saya akan buat yang terbaik untuk mereka," katanya.