Pelumba negara kategori supersport 600, Helmi Azman dan Azroy Hakeem, memiliki misi berbeza menjelang Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Sepang pada 13 hingga 15 September ini.

Helmi menjelaskan dia tidak gentar dengan ramuan pelumba Thailand, Apiwath Wongthananon, dan pelumba Indonesia, Mohammad Adenanta Putra, sebaliknya bersedia mendaki podium, Sabtu ini.

"Saya akan cuba mengutip mata maksimum di sini.

"Saya masih berpeluang untuk merebut tiga tempat terbaik untuk pasukan cuma untuk gelaran pelumba, jurangnya agak jauh.

"Kami sudah membuat persiapan sejak semalam memandangkan saya mempunyai masalah di Litar Antarabangsa Mandalika.




"Jadi tiada lagi teknikal isu agar saya dapat lebih fokus," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Sementara itu, Azroy Hakeem Anuar yang mewakili Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team enggan meletakkan sebarang tekanan berlebihan, sebaliknya menggunakan tonik beraksi di laman sendiri untuk mencipta keputusan positif meskipun sedar masih jauh bagi mengatasi pendahulu keseluruhan dengan beza 40 mata.

"Saya mahu mendapatkan mata sebanyak boleh untuk perlumbaan di tempat sendiri ini.

"Tiada sebarang strategi lagi dan ia bergantung kepada kebolehan masing-masing.

"Kalau boleh saya nak jarakkan diri jauh dengan pelumba lain dan boleh meraih tempat pertama," katanya.