ARRC: Ahmad Fazrul Sham ungguli podium pada usia 39 tahun

Najmi Iman
September 15, 2024 21:22 MYT
Umur bukanlah penghalang buat pelumba Cardinals Factory Racing Team, Ahmad Fazrul Sham, 39, untuk menduduki podium tertinggi kategori underbone (UB150) dalam perlumbaan kedua Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
"Saya mendapat inspirasi ini daripada Azlan Shah yang menaiki podium dalam usia 42 tahun jadi faktor umur saya masih boleh dan dapat buktikan berjaya.
"Terima kasih kepada orang utara yang hadir ke Sepang," kata Ahmad Fazrul Sham
Sementara itu, Azroy Hakeem Anuar juga tidak melepaskan peluang untuk menjuarai kategori SS600 sambil menganggap kejayaan tersebut sebagai hadiah 'Hari Malaysia' esok.
"Alhamdulillah ini adalah pencapaian yang baik buat pasukan kerana saya bermati-matian ingin mendapatkan podium selepas kecewa semalam," kata Azroy Hakeem Anuar
Acara tumpuan pula iaitu kategori Asia Superbike 1000cc menyaksikan pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah, mendapat tempat ketiga Perlumbaan 2 Pusingan 5, sebentar tadi.
"Terima kasih kepada pasukan daripada hari pertama sehingga kini kerana mempersiapkan jentera yang hebat untuk mendapatkan kepantasan dalam kelompok hadapan.
"Bagaimanapun, kejadian pusingan terdahulu berulang memandangkan kami tiada data (perincian) terhadap jentera ini. Kami mampu membuat catatan baik (dalam sesi latihan) tapi sukar buat saya mendapatkan pelarasan (terbaik) dalam perlumbaan sebenar, kecuali di China.
"Perlumbaan sebelum ini agak sukar dan semalam agak teruk. Sejak pusingan pertama lagi sampai tamat perlumbaan tayar saya kurang cengkaman langsung, hampir terjatuh banyak kali.
"Saya cuba berjuang untuk dapatkan podium semalam dan terpaksa menerima kenyataan menduduki tempat kelima," katanya.
#ARRC #Permotoran #Kejuaraan Motorsikal Asia
;