Skuad ragbi Malaysia menagih sokongan sehebat Harimau Malaya apabila Hong Kong sah menurunkan barisan terbaik untuk pertemuan Kejohanan Ragbi Asia (ARC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok.
Aksi timbal balik dengan Hong Kong itu merupakan penutup tirai untuk skuad Bunga Raya dalam kempen divisyen perdana musim ini.
Pendekatan pasukan di ranking ke 24 dunia itu yang menurunkan skuad simpanan ketika menerima kunjungan Malaysia, Sabtu lalu, hampir mengundang padah sebelum mereka merekodkan kemenangan tipis 30-24.
Atas dasar skuad itu, Malaysia mengharapkan Bukit Jalil dilimpahi penyokong ragbi tempatan bagi menyemarakkan perjuangan mereka.
"Adalah penting untuk memastikan barisan pemain negara terus dahagakan kejayaan.
"Pemain utama Hong Kong rancak menjalani latihan dan ia satu perkembangan yang baik buat Malaysia.
"Secara mentalitinya, kami mantap tetapi kalau lebih ramai penyokong boleh datang untuk memberikan semangat kepada kami di Bukit Jalil, ia boleh membantu barisan pemain.
"Tiada perasaan yang lebih hebat selain dapat beraksi di depan ramai penyokong dan keluarga.
"Kami menjanjikan aksi yang lebih mantap sekiranya mendapat sokongan padu," kata ketua jurulatih skuad negara, Bradley Moni Mika, ketika ditemui dalam persiapan pemain-pemainnya di venue pertandingan, hari ini.
Dalam pada itu, Marc Lee menjadi pilihan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan bagi tugasan sebagai kapten.
Dia akan mengisi kekosongan yang terpaksa ditinggalkan K. Dineshwaran, yang perlu melaporkan diri bersama pasukan Hino Red Dolphins untuk kempen liga utama di Jepun.
"Saya perlu memilih pemain yang mempunyai ciri-ciri pemain senior, pengetahuan.
"Tugas seorang ketua pasukan bukan mudah kerana perlu menggalas beban besar.
"Marc merupakan individu yang sesuai kerana pernah bermain di serata dunia serta merupakan salah seorang tonggak senior dalam pasukan ini," tambahnya.
Malaysia tewas ketiga-tiga perlawanan setakat ini dengan dua daripadannya di tangan Korea Selatan.
Penulis Jemputan
Fri Jun 21 2019