SUKAN LAIN

Anugerah SAM-100Plus 2017: Azizulhasni, Ziyad atlet terbaik

Penulis Jemputan 01/03/2018 | 15:02 MYT
Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, dan juara dunia olahraga para, Muhammad Ziyad Zolkefli, masing-masing meraih Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Paralimpik Terbaik dalam Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100Plus 2017.
Hadiah untuk kedua-dua kategori disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sambil diiringi Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa, dalam majlis gilang-gemilang di Hotel Hilton Petaling Jaya, malam ini.
Bagaimanapun, Azizulhasni dan Ziyad tidak dapat hadir dalam majlis berkenaan kerana masing-masing menghadapi kejohanan dan latihan intensif di luar negara.
Pelumba berusia 30 tahun dari Dungun, Terengganu, itu yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’, meraih Anugerah Atlet Terbaik buat kali kedua selepas memenangi Anugerah SAM-100Plus 2009.
Selepas sekian lama menanti, sukan berbasikal negara akhirnya menyaksikan juara dunia pertama berjaya dilahirkan menerusi Azizulhasni pada 13 April 2017 melalui acara kegemarannya, keirin, dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong.
Azizulhasni kini berada di Apleldorn, Belanda, dalam misi mempertahankan kejuaraan dunia dalam Kejohanan Trek Dunia UCI, yang sedang berlangsung hingga Ahad ini.
Ziyad pula sedang menjalani latihan intensif di Leipzig, Jerman, dalam mempersiapkan diri untuk Kejohanan Grand Prix Olahraga Para Dunia di Dubai dari 13 hingga 16 Mac ini.
Jaguh lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) itu mencipta pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2017 dengan meraih pingat emas di samping mencipta rekod baru dunia dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London selepas cemerlang memegang rekod dunia dalam Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 2016.
Sekembalinya dari London, dia mencipta kejutan dengan meraih pingat gangsa dalam penampilan sulungnya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berdepan atlet-atlet normal dan seterusnya mempertahankan pingat emas Sukan Para Asean buat kali ketiga berturut-turut.
Dalam majlis itu juga, atlet cilik sukan ski air, Aaliyah Yoong Hanifah, yang mencipta pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2017, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Atlet Muda.
Selepas menilai prestasi atlet-atlet negara, baik atlet kebangsaan mahupun atlet profesional sepanjang tahun lalu, SAM menobatkan pasukan boling elit wanita dan juga pemain golf profesional, Gavin Kyle Green, sebagai penerima Anugerah Khas.
Sementara itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipilih untuk Anugerah Persatuan Dinamik berdasarkan kepada pengiktirafan bahawa pelbagai program pembangunan bakat muda persatuan itu kini nyata di landasan yang tepat.
Kejayaan tiga pasukan muda negara itu ialah skuad bawah 23 tahun, skuad bawah 19 tahun dan skuad bawah 16 tahun yang melakar sejarah tahun lalu apabila melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kini mampu menempatkan diri dalam kelompok elit benua Asia.
Dalam majlis itu, SAM turut memberi penghargaan kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar, sebagai menghargai sumbangannya terhadap pembangunan sukan negara.
SENARAI PEMENANG ANUGERAH SAM-100PLUS 2017:
Anugerah Atlet Terbaik: Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal)
Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik: Muhammad Ziyad Zolkefli (olahraga para)
Anugerah Atlet Muda Terbaik: Aaliyah Yoong Hanifah (ski air)
Anugerah Khas: Gavin Kyle Green (golf) dan skuad boling tenpin wanita
Anugerah Persatuan Sukan Dinamik: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)
;