SUKAN LAIN
Anugerah Atlet Muda Terbaik SAM jadi milik Fauzi
Atlet muda negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah, dipilih oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik Anugerah SAM-100PLUS 2018.
Pemilihannya adalah berdasarkan aksi konsisten dalam setiap pertandingan yang disertai atlet pelayaran berusia 16 tahun itu sepanjang tahun lalu.
Naib Presiden SAM, Izahar Atan, berkata: “Prestasi yang ditunjukkan ketika beraksi dalam Sukan Asia 2018 menjadi faktor utama kepada pemilihannya untuk menerima anugerah ini.
“Mewakili SAM, kami berharap kecemerlangan yang ditonjolkan menjadi inspirasi kepada atlet-atlet muda yang lain untuk bekerja lebih keras demi mengharumkan nama Malaysia."
Muhammad Fauzi akan menerima anugerah berkenaan dalam majlis gilang-gemilang yang akan diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Rabu depan.
Majlis Anugerah SAM-100Plus 2018, yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-50 persatuan itu, mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar untuk berangkat hadir ke majlis itu.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, juga dijadualkan hadir dalam majlis tersebut.
Tiada siapa menyangka atlet kelahiran Pulau Langkawi itu pada awalnya tidak berminat langsung dengan sukan pelayaran, namun atas dorongan ibunya, Hasni Muhammad, yang bekerja sebagai tukang masak di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi, dia kini menjadi sebutan sebagai antara atlet pelayaran terbaik di Malaysia.
Bermula dengan Sukan Malaysia (Sukma), dia kemudiannya menghasilkan pingat dalam dua temasya Sukan SEA di Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017), lantas kejayaan demi kejayaan terus berjaya dilakar Muhammad Fauzi.
Pencapaian atlet muda itu sepanjang tahun lalu menyaksikannya meraih pingat gangsa dalam acara Laser 4.7 dalam Kejohanan Perahu Layar Asia pada Jun 2018 sebelum merangkul pingat emas dalam acara yang sama dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada tarikh sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-61.
Dalam majlis anugerah tahunan SAM itu, selain Anugerah Atlet Muda Terbaik, turut diadakan Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Paralimpik Terbaik, Anugerah Persatuan Sukan Dinamik dan Anugerah Khas.
Anugerah SAM-100Plus 2018 turut memberikan pengiktirafan kepada wakil-wakil media tempatan.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan, iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel serta hadiah wang tunai RM7,000.