OLAHRAGA

Antarabangsa Towerthon Menara KL: Lobodzinski nafi hajat Wai Ching

Shaiful Shamsudin 08/12/2024 | 10:32 MYT
Hasrat bekas pelari menara nombor satu dunia, Soh Wai Ching,untuk bergelar juara di laman sendiri tidak kesampaian apabila akur tewas dengan jurang lebih lapan saat berbanding juara baru, Piotr Lobodzinski, dalam Kejohanan Antarabangsa Towerthon Menara Kuala Lumpur 2024 Edisi Ke-22.
Pengalaman beraksi buat kali pertama di Malaysia menjadi kenangan paling manis buat Lobodzinski apabila mencipta rekod baru 8:08 saat selepas pendakian 1,608 anak tangga menuju ke pelantar "observation deck" di ketinggian 292 meter.
Tahun lalu, Wai Ching muncul juara dengan mendaki 1,576 anak tangga di ketinggian 288 meter menerusi catatan 7:55s.
"Ini kali pertama saya berada di Malaysia dan Menara KL.
"Saya juga gembira dapat merakam rekod baru sambil berharap kembali pada tahun depan dan melakar catatan lebih baik.
"Negara asal saya, Poland, sedang mengalami musim sejuk jadi ia satu cabaran yang cukup sukar buat saya," kata Lobodzinski.
Kejohanan itu juga mencuri tumpuan lensa nadi weekend apabila diwarnai dengan kategori fun run yang memperkenalkan peserta berkostum dalam menambah keunikan dengan menyuntik elemen kreativiti dan keceriaan.
"Saya rasa telah memecut terlalu awal sebab itu saya tidak dapat kekalkan rentak.
"Oleh itu saya tidak dapat mencapai catatan yang disasarkan. Saya kecewa dengan diri sendiri, saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia.
"Saya tahu menjadi harapan untuk menang larian ikonik di tempat sendiri, Menara KL.
"Apa yang sudah berlaku sudah berlaku dan saya akan tahun depan lagi, buat yang terbaik," kata Wai Ching pula.
#larian #Towerthon Menara KL
;