Aniq Kasdan mahu bukti dirinya relevan dalam Program RTG
Ammar Hakim
November 1, 2023 19:22 MYT
November 1, 2023 19:22 MYT
Bintang angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan, tekad meraikan penyenaraiannya dalam Program Road to Gold (RTG) dengan memperbaharui rekod kebangsaan miliknya di Kejohanan IWF GPII di Qatar Disember ini.
Lakaran sejarah rekod kebangsaan kini milik Aniq menerusi angkatan 125 kilogram dalam acara snatch sambil mengumpul angkatan keseluruhan 291 kilogram yang dilakukan di Riyadh, Arab Saudi.
Aniq turut berharap dapat meningkatkan momentum angkatannya demi memperbaiki kedudukan kelayakan Sukan Olimpik 2024 dengan 10 atlet terbaik tempah slot ke Paris.
"Saya akan cuba memperbaharui rekod saya di Qatar sekaligus menjadi rekod kebangsaan yang baru," kata Aniq menerusi Nadi Arena.
"Saya tidak melihat ia sebagai tekanan sebaliknya mengambil perkara ini sebagai cabaran untuk meningkatkan lagi mutu prestasi saya."
Sementara itu, Aniq berperang untuk menyesuaikan diri dengan program latihan di bawah ketua jurulatih baru negara, Edmond Yeo, susulan pengunduran Yon Haryono yang terpaksa pulang ke Indonesia atas faktor urusan keluarga.
"Kami telah melewati pertukaran jurulatih tidak menjadi perjalanan sebagai atlet angkat berat. Saya perlu segera menyesuaikan diri dengan corak latihan baru dan melakukan terbaik dalam kejohanan akan datang."