KL2017
Angkat Berat: Fazrul sumbang perak pada hari terakhir
Skuad angkat berat berpuas hati dengan satu pingat perak yang baru sahaja diraih oleh Mohmad Fazrul Azrie Mohdad pada hari terakhir Sukan SEA Ke-29 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Fazrul meraihnya selepas menduduki tempat kedua kategori 85kg dengan melakukan angkatan keseluruhan seberat 323kg.
Dia tidak memiliki peluang baik dalam saingan snatch apabila hanya melakukan angkatan 141kg untuk berada di kedudukan keempat, berkongsi kedudukan dengan atlet Indonesia, Eddy Kurniawan.
Iklan
Namun, kemampuan sebenarnya ditonjolkan dalam clean and jerk apabila berjaya mengangkat 175kg pada percubaan pertama sebelum melakukan angkatan ketiga 182kg untuk mengumpul 323kg, sekaligus menduduki tempat kedua.
Fazrul, yang pada awalnya menyasarkan pingat gangsa, terkejut kerana berjaya memintas Hwang Tanh Ten dari Vietnam yang menghimpun jumlah 322kg untuk gangsa.
"Saya rasa gugup ketika acara snatch kerana ada kecederaan di lutut dan bahu. Jadi masa angkatan pertama dan kedua, saya belum panas sebelum membuat angkatan lebih baik pada angkatan ketiga.
"Bagaimanapun, saya perlu buat kerana lawan saya adalah atlet Indonesia dan Vietnam. Jadi saya cuba buat terbaik dalam clean and jerk," kata Fazrul.
Sementara itu, jurulatih angkat berat kebangsaan, Stefan Stefanov, berkata: "Dia melakukan catatan yang baik. Dia baru berusia 22 tahun, namun saya yakin dia berupaya meraih pingat dalam Sukan Komanwel nanti."
Pingat emas menjadi milik atlet Thailand, Pornchai Lobsi, yang memecah rekod Sukan SEA dengan angkatan 191kg mengatasi rekod lama 190kg.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.
Must-Watch Video